Kerana ALLah

Saturday, September 13, 2008

KUIS sasar tenaga profesional menerusi Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan


12-09-2008 10:33:39 AM


BANGI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIs) mensasarkan lebih ramai tenaga profesional dalam perbankan dan kewangan Islam dapat dilahirkan menerusi pengenalan Program Sarjana Pentadbiran Perniagaannya yang berkonsepkan Muamalah.

Dekan Program Pengajian Siswazah, Dr Ahmad Fauzi Idris memberitahu Bernama baru-baru ini, Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Muamalah (MBAMuamalah) yang ditawarkan KUIS adalah kombinasi daripada program Perbankan dan Kewangan Islam, Takaful dan Perancangan Kewangan Islam dan Pengurusan.

"Program perintis ini penting untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kewangan Islam di negara ini", katanya.

Malahan kewujudan tenaga kerja dalam bidang ini juga mampu menjadikan Malaysia sebagai hab bagi produk kewangan Islam di luar negara.

Pengambilan September 2008

Dr Ahmad Fauzi berkata, tempoh pengajian bagi program ini adalah selama tiga semester untuk pengajian sepenuh masa. Setiap semester mengandungi 14 minggu.
Bagi pengajian separuh masa, jangkamasa pengajian ialah enam semester.

Pengambilan pertama untuk program ini bermula pada September 2008 untuk sesi pengajian 2008/2009.

Dr Ahmad Fauzi berkata, permohonan untuk mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan Muamalah terbuka kepada graduan Sarjana Muda dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, swasta ataupun graduan dari KUIS.

Namun kelebihan diberikan kepada calon yang mengambil subjek Bahasa Arab semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekiranya calon tidak mengambil subjek berkenaan, mereka dikehendaki mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab selama tiga bulan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sepanjang Hayat KUIS (KUISCELL).

Berkenaan kadar yuran, Dr Ahmad Fauzi berkata KUIS menawarkan kadar yang berpatutan dan ia adalah yang terendah di Malaysia.

"Bayaran adalah mengikut semester pengajian, sekiranya yuran dibayar sepenuhnya untuk tiga semester pengajian, pihak KUIS akan menyediakan insentif berbentuk diskaun", katanya.

Dengan kadar bayaran yang berpatutan, KUIS yakin program ini akan mendapat sambutan daripada pelajar tempatan dan luar negara.

Struktur Pengajian

Menurut Dr Ahmad Fauzi, proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan mengambil kira keperluan pelajar.

"Pelajar boleh memilih satu daripada dua mod pengajian yang disediakan iaitu menghadiri kelas setiap hari pada hari bekerja atau sebelah petang dan hujung minggu.

"Kelas pada sebelah petang dari pukul 6 sehingga 10 malam, manakala pada hujung minggu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Jadual pengajian yang fleksibel akan memudahkan pelajar menghadiri kelas", katanya.

Dr Ahmad Fauzi berkata, pengajian akan dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu hanya 20 pelajar dalam satu kelas untuk memudahkan interaksi dua hala dan pembentangan individu.

Pelajar diwajibkan mengambil lima subjek berkaitan pengurusan perniagaan dan kewangan Islam pada semester pertama pengajian, enam subjek pada pengajian semester kedua dan empat subjek pada semester ketiga.

"Walaupun tempoh pengajian agak singkat, dengan penyusunan program yang padat dan bersesuaian serta tenaga pengajar yang berpengalaman, KUIS yakin program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Muamalah ini mampu memenuhi keperluan tenaga kerja industri kewangan Islam", katanya.

Menurut Dr Ahmad Fauzi, KUIS turut mendapat pandangan daripada panel penasihat semasa menggubal program ini.

Peluang Kerjaya

Dr Ahmad Fauzi berkata, melihat kepada senario pasaran kerja semasa, graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Muamalah mempunyai peluang kerjaya yang luas dalam sektor perbankan dan kewangan Islam.

"Kepakaran dan guna tenaga dalam sektor perbankan dan kewangan Islam di Malaysia amat diperlukan. Dengan adanya program seumpama ini, KUIS telah menyediakan kemudahan dalam bentuk tenaga kerja dan kepakaran kepada sektor dan industri yang memerlukan", katanya.

Pihak KUIS juga, katanya, berharap program ini dapat diterima baik oleh pelajar dan berupaya menjalinkan kerjasama dengan pihak industri berkaitan bagi mengembangkan program ini sekali gus mampu memberi kebaikan kepada pelajar.

"Kami berharap pengenalan program ini mampu meletakkan KUIS sebaris dengan IPT lain", katanya. BERNAMA

No comments: