Kerana ALLah

Monday, July 18, 2011

lamanya mengedit

Sehigga hari ni pihak berkuasa belum lagi tunjuk rakaman versi penguatkuasa..
amboi, lamanya mengedit...


Serah video perhimpunan Bersih
GENTING HIGHLANDS - Orang ramai diminta bekerjasama dengan polis bagi menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram pada 9 Julai lepas untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa berlaku kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu.
"Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Banteras Kecurian Kenderaan di Malaysia di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat dakwaan berlaku kezaliman polis ketika bertugas menangani perhimpunan tersebut.
"Siasatan akan diselesaikan secepat mungkin dan polis telah panggil beberapa saksi untuk siasat tohmahan itu.
"Polis ingin tahu tohmahan itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun tohmahan yang disiasat itu tidak termasuk kejadian di Hospital Tung Shin, Pudu" katanya.
Khalid berkata, sekiranya perlu polis bersedia menayangkan video mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada perhimpunan itu.

Tuesday, July 5, 2011

cadangan YB

Himpunan Bersih 2.0 sepatutnya di rumah Najib
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Perhimpunan Bersih 2.0 sepatutnya dibuat di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukan di stadium, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Oleh kerana (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) takut sangat rakyat berarak secara aman di jalan raya kononnya banyak orang akan tumpang semangkuk untuk membuat kacau, kita berharap beliau dapat menawarkan Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasminya untuk menjamin keadaan yang benar-benar aman dan tenteram.

"Najib cadang buat perhimpunan itu di stadium kerana beliau takut jika berarak ke istana di jalan raya, orang yang suka kepada rusuhan dan kekacauan akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan, tetapi buat di stadium pun gerombolan yang mengugut akan berlaku bakar kereta dan baling batu serta menyuruh orang Cina menyimpan beras boleh tumpang sekaki.

"Mereka memang tergila-gilakan rusuhan dan kekacauan," katanya.
Tetapi, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, jika perhimpunan memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih itu dibuat di kediaman rasmi Perdana Menteri, tak mungkin gerombolan itu akan membuat kacau kerana mereka tentu tidak mahu membuat kacau di kediaman rasmi ketua mereka sendiri.

"Sebab itulah, jika Perdana Menteri benar-benar bersungguh-sungguh hendak menjaga keamanan dan ketenteraman, Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi beliau adalah tempat yang paling selamat untuk beliau tawarkan sebagai medan perhimpunan Bersih.
"Jika dibuat di kediaman Najib, gerombolan yang terjerit-jerit hendak membaling batu dan membakar kereta bukan sahaja tidak akan membuat kacau, malah mereka akan pastikan pula keamanan dan ketenteraman di kediaman rasmi ketua mereka sendiri tidak diganggu gugat," katanya.

Mahfuz berharap Najib akan menawarkan Kompleks Seri Perdana sebagai tempat perhimpunan Bersih jika beliau benar-benar serius tak mahu mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara seperti yang dinyatakannya.

Monday, July 4, 2011

titah diraja

Isnin Julai 4, 2011

Titah Khas Yang Di-Pertuan Agong Peringatan Terakhir

KAJANG: Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram pada 9 Julai ini merupakan peringatan terakhir kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata titah Tuanku Mizan jelas menunjukkan betapa seriusnya perkara itu kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian serta imej negara di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata perkembangan dan agenda perhimpunan itu, yang tidak sihat sehingga menjadi bahan berita antarabangsa, tidak menyenangkan Yang di-Pertuan Agong sehingga Seri Paduka terpaksa mengeluarkan titah khas bagi menyedarkan rakyat.

"Ini menunjukkan bahawa perkara ini serius. Saya berharap agar rakyat dapat melihatnya secara serius kerana tak mungkin Tuanku bertitah begitu rupa, (begitu juga) Raja-Raja kita yang lain selain ingatan-ingatan daripada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)dan melancarkan Skuad 1Malaysia di sini Isnin.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong bertitah menyeru rakyat negara ini tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

Seri Paduka bertitah bahawa sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun perlu menyelesaikan permasalahan yang timbul secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata titah khas Tuanku Mizan itu tepat pada masanya ketika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sendiri terus memujuk dan menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan itu.

Sultan dan Raja-Raja Melayu juga diberi taklimat berhubung kait dengan aktivi gabungan NGO itu yang cuba memporak-perandakan kestabilan negara, katanya.

Hishammuddin berkata polis sedia menghadapi anasir subversif dengan kaedah tersendiri termasuk menahan mereka yang terlibat di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih serius berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata titah Tuanku Mizan berhubung perhimpunan haram itu harus diberi perhatian pihak yang merancang berbuat demikian.

Beliau berkata mana-mana pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil seharusnya mengadakan perbincangan dan dialog secara aman dalam prinsip kesederhanaan bagi mengatasi sebarang isu mengenai pilihan raya.

"Isu itu (pilihan raya) tidak harus dipolitikkan khususnya oleh parti-parti pembangkang yang dilihat mulai tidak berpuas hati selepas mereka mengalami kekalahan demi kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Koh, yang juga Presiden Gerakan, berkata pihak pembangkang dilihat akan membantah kemenangan lawannya sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam sebarang pilihan raya sejak 30 tahun lepas dan mereka hanya berpuas hati apabila mereka menang.

"Apabila pembangkang iaitu Lim Kit Siang (DAP) menang besar di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008, mereka diam tetapi kita (Barisan Nasional) kalah tetap tidak marah kepada rakyat dan menerima kekalahan itu," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta rakyat supaya sedar bahawa penganjur perhimpunan haram tidak ikhlas dalam menyelesaikan tuntutan mereka yang kononnya mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Timbalan Presiden MCA itu berkata rakyat tidak boleh membiarkan diri mereka menjadi kuda tunggangan pihak pembangkang dalam mencapai hasrat mereka untuk menumbangkan kerajaan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memanggil Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga untuk berunding mengenai tuntutan mereka, tetapi ditolak dengan angkuh oleh mereka.

"Ini dapat kita lihat mereka lebih suka buat demonstrasi daripada menyelesaikan masalah, rakyat perlu lihat sekarang siapa yang mahu dan bersedia selesaikan masalah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandam antara Kementerian Kesihatan dan Universiti Tunku Abdul Rahman di kampus Utar Sungai Long di sini.

Katanya adalah mustahil bagi penganjur itu menepati janji bahawa perhimpunan itu akan dilakukan secara aman kerana ada banyak anasir negatif yang akan mengambil kesempatan dan melakukan provokasi.

"Demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaiannya sebab kita ada saluran yang betul untuk selesaikan masalah," katanya.- BERNAMA