Maufakat demi kelangsungan bangsa
Oleh Utusan
Rabu, 16 April 2008
IDEA mengadakan permuafakatan antara UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rak- yat (PKR) pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi ia tidak begitu menarik perhatian ketiga-tiga parti itu untuk menggerakkannya secara serius supaya menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 bulan lepas, idea tersebut diperkatakan kembali apabila beberapa isu melibatkan agama Islam, raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dicabar secara terang-terangan.
Selain itu, kemenangan ramai calon bukan Melayu daripada parti pembangkang juga wajar direnungi oleh parti- parti yang mewakili orang Melayu seperti Pas dan UMNO - jangan sampai penguasaan mereka ini meruntuhkan kuasa politik Melayu.
Ini didorong oleh kebimbangan mengenai kepentingan orang Melayu di negeri-negeri yang didominasi oleh bukan Melayu seperti di Pulau Pinang berikutan langkah kerajaan pembangkang di situ untuk menghapuskan DEB yang akan menghakis hak mereka.
Timbul persoalan, apa akan jadi dengan kuasa politik Melayu apabila sudah ada pihak yang berani mencabar hak mereka yang sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan?
Justeru, sudah sampai masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu duduk dan membincangkan hak serta hala tuju orang Melayu supaya ia dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya.
Tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu yang berbeza fahaman politik me- ngetepikan ideologi dan kepentingan masing-masing serta bersama-sama memperjuangkan hak ketuanan Melayu yang kini dilihat semakin rapuh.
Persoalannya, apakah ia boleh dilakukan dan apakah ketiga-tiga parti yang berbeza fahaman politik sanggup untuk mengetepikan kepentingan masing-masing demi mempertahankan hak orang Melayu?
Bagi pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman, permuafakatan seumpama itu boleh diwujudkan jika semua pihak bersedia melupakan soal kepentingan parti, diri sendiri dan sanggup bertolak ansur.
''Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutama selepas pilihan raya umum lalu, pembangkang memenangi banyak kerusi dan kini menguasai lima negeri.
''Permuafakatan boleh wujud jika semua pihak boleh sepakat dan bersetuju bahawa tidak ada pihak yang mendominasi pihak satu lagi,'' katanya.
Itulah yang seharusnya dipersetujui oleh pemimpin Melayu. Permuafakatan harus disegerakan dan dilakukan secara ikhlas bukan bersyarat. Ia mestilah kekal dan bukan bersifat sementara, demi kepentingan orang Melayu.
Jangan sampai permuafakatan itu kemudiannya berlangsung sekerat jalan apabila ada pemimpin yang mula memperkatakan soal jawatan dan mahukan kuasa dan selain mahu menegakkan agenda parti masing-masing.
Orang Melayu tidak lagi boleh menutup mata dan menganggap seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Pemimpin-pemimpin Melayu mesti bersatu dan menjadi satu kumpulan pendesak yang kuat demi memastikan hak serta kepentingan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara.
Saranan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria baru- baru ini supaya permuafakatan itu diwujudkan agar isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan ternyata telah mencetuskan usaha positif ke arah menyatukan orang Melayu.
Reaksi positif daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memungkinkan muafakat yang dicadangkan itu menjadi kenyataan.
Salahuddin mengakui Pas pada dasarnya bersetuju dengan permuafakatan itu merupakan petanda positif ke arah merealisasikan usaha permuafakatan itu.
Begitu juga dengan Azmin yang mengakui pemuafakatan membawa maksud yang baik tetapi perlu berlandaskan prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain supaya tidak wujud ju- rang antara Melayu dan bukan Melayu.
Permuafakatan yang dimaksudkan itu bukan bertujuan untuk menidakkan hak bukan Melayu apatah lagi bermusuhan dengan mereka. Sebaliknya ia lebih kepada usaha untuk menjadi satu pakatan yang kuat supaya jika ada pihak yang mempertikaikan hak orang Melayu, pemimpin Melayu boleh bangkit dan bersatu mempertahankannya.
Bagaimanapun adalah penting untuk pemimpin ketiga-tiga parti politik itu terlebih dahulu mendapatkan konsensus dan persefahaman sesama mereka mengenai usaha yang perlu dilaksanakan dalam menegakkan kepentingan Melayu agar ia tidak mudah diganggu oleh orang lain.
Dan jika ada yang cuba mempertikaikan mahupun memperlekehkan isu-isu tersebut, pemimpin daripada ketiga-tiga parti itu perlulah senada mempertahankan apa yang sememangnya menjadi hak orang Melayu.
Pemimpin-pemimpin Melayu perlu ada cara mereka sendiri dalam mempertahankan hak orang Melayu. Usaha itulah yang harus digerakkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR sekarang demi survival orang Melayu.
Wednesday, April 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment