Kerana ALLah

Wednesday, April 16, 2008

Masa untuk bekerja

Kerajaan Pakatan Rakyat akan laksanakan janji mengikut bidang kuasa - Mahfuz
Basiron Abdul Wahab Wed Apr 16, 08 1:39:30 pm MYT

JERANTUT 16 April (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata, Kerajaan Pakatan rakyat tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melaksanakan janji yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya Ke arah Negara Berkebajikan mengikut kemampuan dan kuasa kerajaan negeri.
Mahfuz berkata, apa-apa janji yang terkadung didalam manifesto pilihan raya lalu akan dilaksanakan seperti 'rebet' cukai tanah di Kedah, bekalan air percuma di Selangor dan sebagainya.
Perkara itu, jelasnya boleh dilaksanakan tetapi menurunkan harga petrol dan barangan keperluan tidak dapat dilakukan kerana bidang kuasa berkaitan perkara itu berada di tangan kerajaan Persekutuan.
Menjawab pertanyaan mengenai pendidikan percuma, beliau menjelaskan, isu berkenaan juga tidak dapat dilaksanakan kerana ia bukan berada di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, bagaimanapun sebagai Ahli Parlimen beliau dan rakan-rakan ahli parlimen Pakatan Rakyat akan mendesak kerajaan Persekutuan memansuhkan hutang pinjaman Tabung Pendidikan Negara (PTPN) itu.
Mahfuz turut ditanya mengenai usaha membebaskan pemimpin Hindraf yang di tahan dibawah ISA serta Cuti Taipusam di Kedah.
Katanya usaha membebaskan semua tahanan ISA tetap menjadi agenda Pakatan Rakyat bukan setakat membebaskan lima pemimpin Hindraf tetapi semua tahanan ISA lainnya serta Akta itu dimansuhkan terus.
"Sebagai bekas tahanan ISA, saya merasai bagaimana penderitaan ditahan tanpa sebarang tuduhan, justeru kita bukan berjuang setakat membebaskan semua tahanan bahkan menghapuskan terus Akta ISA itu," katanya.
Menurut Mahfuz isu cuti umum Taipusam, beliau difahamkan perkara itu telah dibangkitkan oleh kaum India kepada kerajaan Kedah.
Mahfuz berada di Pahang kerana merasmikan penubuhan Kelab Penyokong PAS (India). Pada majlis itu Mahfuz menerima 150 borang menyertai kelab penyokong PAS (India) dari pengerusi penaja Balasubramaniam Nachiappan 50.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin PAS negeri, kawasan dan cawangan. - mns

No comments: