Kerana ALLah

Monday, February 2, 2009

lagi akuan bersumpah

Pemimpin PKR dakwa Najib tawar RM50 juta

IPOH: Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Datuk Seri Najib Razak menawarkan wang RM50 juta kepadanya supaya memujuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat dari negeri ini melompat ke Barisan Nasional (BN).

Ketua PKR Ipoh, Fauzi Muda, berkata Timbalan Perdana Menteri juga mengatakan terpulang kepada beliau mengagihkan jumlah yang difikirkan wajar untuk Adun berkenaan bertukar parti.

Katanya, pertemuan dilakukan dalam sebuah bilik di kediaman rasmi Najib di Putrajaya pada 11 Mac tahun lalu, iaitu tiga hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Kenyataannya mengenai pertemuan itu dibuat dalam akuan bersumpah dan satu laporan dibuat di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, cawangan Perak, di sini tengah hari semalam.

"Pada 11 Mac 2008, saya dibawa oleh kenalan saya, Sulaiman ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan, tetapi tiba di Tol Jalan Duta, saya dibawa berjumpa tiga lelaki dan salah seorang daripadanya ialah Datuk Zainal Abidin Zin, bekas Timbalan Menteri Pertahanan kepada Najib dulu.

"Di situ, beliau memberitahu tujuan sebenar saya dibawa ialah untuk berbincang dengan Najib atas urusan politik. Saya terus dibawa ke Putrajaya, di kediaman Najib.

"Saya dibawa Najib ke bilik khas dan beliau merayu dan meminta saya mengusahakan menarik sekurang-kurangnya dua wakil rakyat dengan janji dia (Najib) bersedia membayar saya RM50 juta," katanya kepada pemberita di Pejabat PKR Perak di sini semalam.

Fauzi berkata, beliau memaklumkan pertemuan itu kepada kepemimpinan PKR dalam satu mesyuarat parti tahun lalu.

Katanya, Najib juga berjanji akan melambat-lambatkan pelantikan Menteri Besar Perak sementara menunggu Adun berkenaan melompat parti.

Beliau berkata, usaha memujuk terus dilakukan selepas Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Mohd Jailu menghadapi tuduhan rasuah.

"Selepas exco Pakatan Rakyat menghadapi tuduhan rasuah, usaha ini terus dilakukan. Ejen beliau berjumpa saya meminta terus berusaha, cuba dekati dan cuba meyakinkan atau merayu dua rakan saya ini supaya 'crossover' (menyeberang ke PN).

"Kalau saya berjaya, mereka berjanji ‘amountnya’ (jumlah wang) RM5 juta setiap Exco. Jawatan Exco tetap diberi dan kes yang sedang mereka hadapi akan pasti digugurkan," katanya.

No comments: