Kerana ALLah

Monday, April 28, 2008

Kem ISA wajar dipindahkan dari Perak




INILAH antara perkara penting yang patut semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat sama-sama perjuangkan. Jangan sibuk dengan mempersoalkan asas dan ideologi masing-masing.

Sampai bila setiap orang asyik mempersoalkan asas dan diri orang lain. Apa yang penting semua perlu mencari titik persamaan untuk perjuangan. Bukan mencari apa perbezaan untuk mencari jalan permusuhan.

PETIKAN DARI HARAKAHDAILY.NET

Subky Abdul Latif Mon Apr 28, 08 8:02:49 pm MYT
Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin ketika mengadakan kunjungan rasmi kepada Perdana Menteri membangkitkan tapak khemah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kamunting, sedang parti yang memerintah Negeri Perak sekarang adalah menentang ISA.
Tidak pasti apa perincinya yang mereka bincang, tetapi yang jelas ketiga parti yang membentuk kerajaan campuran di Perak iaitu PAS, DAP dan KeADILan adalah menentang ISA dan mahu ISA dimansuhkan.

Kerajaan Perak tiada kuasa untuk memansuhkan ISA kerana ia adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat. Tetapi tentulah kerajaan Perak merasa tidak senang sesuatu yang dibenci dan dikutuknya berkhemah dalam wilayahnya.

Maka secara terhormat adalah munasabah kalau Perak minta Kerajaan Persekutuan memindahkan khemah tahanan ISA itu dari Kamunting ke negeri yang lain. Adalah dipercayai empat lagi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tidak sedia menimbangkan wilayah mereka untuk dijadikan tapak baru khemah undang-undang yang mereka sifatkan zalim itu.

Setakat ini Pahang dan Johor yang masih dikira kubu kuat BN yang tidak lagi tergugat tentu bersedia memberikan tanahnya untuk akta yang terkutuk itu. Kedua-dua negeri itu masih punya banyak kawasan yang belum diteroka, maka boleh dijadikan tapak khemah ISA yang baru.

Bukan suatu yang mudah bagi kerajaan Perak untuk mengusirkan khemah itu keluar dari Kamunting. Tentu ada perjanjian antara kedua kerajaan tentang tanah yang dijadikan khemah tahanan itu. Apa jua yang hendak dilakukan atas perkara itu terpaksa merujuk kepada persetujuan pemberian kawasan itu dulu.

Dulu tiada kerajaan yang menentang ISA. Tetapi sekarang mulai banyak kerajaan negeri yang menentang ISA. Kesemua parti pembangkang yang menguasai lima buah negeri sepanjang masa menjadikan ISA sebagai agenda yang perlu dimansuhkan.

Janji itu dibuat dalam setiap pilihan raya, baik pilihan raya umum mahu pun pilihan raya kecil. Ia adalah janji yang ditawarkan oleh mereka kepada rakyat. Dalam pilihan raya pada 8 Mac lalu, majoriti pengundi di lima negeri itu mengundi mereka. Antara yang mereka setuju itu adalah untuk memansuhkan ISA.

Yang masih berdegil untuk mengekalkan ISA ialah BN. Maka secara sukarela wajarlah Kerajaan Pusat menimbangkan untuk keluar dari Kamunting jika diminta oleh kerajaan negeri itu.
Kawasan yang dijadikan khemah tahanan itu agak luas. Dalam rangka pelaksanaan program pembangunan koridor utara yang sudah dilancarkan itu, ia adalah sesuai untuk dibangunkan bagi satu-satu projek yang menjana kemajuan negeri Perak.

Mungkin ia boleh dijadikan kampus pengajian tinggi yang baru. Perak yang ramai penduduknya tentu memerlukan sebuah universiti. Jika nama ISA itu hendak dikekalkan tiada masalah, asal jangan untuk menahan rakyat tanpa bicara.

Jika kerajaan Perak hendak menjadikannya tapak kampus yang memakai nama ISA, maka boleh dinamakan Institut Sains Awam singkatnya ISA atau Institut Sultan Azlan juga singkatnya ISA. Apa isi kampus itu boleh ditentukan oleh penduduk Perak, tetapi yang penting nama ISA boleh dipakai untuk tujuan yang baik, bukan untuk menindas seperti yang digunakan oleh BN selama lebilh 50 tahun lalu.

Adalah jauh lebih bermakna bagi ISA sama ada Institut Sains Awam atau Institut Sultan Azlan dijadikan tapak bagi membina modal insan yang seramai-ramainya yang diperlukan oleh masyarakat dan negara sekarang, bukan dijadikan kawasan membunuh jiwa insan seperti yang berlaku selama ini.

Dato' Seri Nizar membangkitkan isu itu untuk difikirkan oleh Perdana Menteri bagaimana suatu yang tidak disukai oleh kerajaan Perak sekarang dibiarkan terus berada di dalam wilayahnya.
Tentunya kerajaan Perak tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai suatu yang boleh menghalang kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
Belum pada peringkat ini kerajaan Perak hendak memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat, tetapi yang diperlukan ialah bagaimana kerajaan menggunakan kebijaksanaannya menghormati keputusan pengundi di negeri itu.

Tentulah Menteri Besar Perak itu tidak bertujuan untuk menambah beban dan tekanan yang sedang dihadapi oleh Perdana Menteri gara-gara prestasi menjunamnya dalam pilihan raya lalu.
Perdana Menteri perlu dibantu oleh Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato Syed Hamid Albar menimbang secara berhemat dan tidak menegangkan isu itu hingga menggawatkan lagi beban yang dihadapi Umno sekarang.

Kerajaan Persekutuan tidak wajar menganggap keputusan pengundi Perak itu sebagai satu perkembangan sementara. Ia jangan menjadikan perkembangan di Terengganu dulu akan berlaku pula di negeri-negeri yang ia kalah sekarang.

Dulu BN dilihat elok dan Perdana Menterinya juga dilihat elok. Tetapi sekarang Umno sendiri pun mula melihat semuanya sudah tidak elok. Maka adalah baik bagi Kerajaan Pusat mencari kawasan khemah baru di negeri yang ia tidak dilihat hodoh.

Jangan gunakan kuasa bagi menyelesaikan isu yang sangat ringan ini. Ia mesti berfikir bukan lagi mudah untuk mendapatkan kembali kuasa yang sudah terlucut. Yang terjadi di Terengganu itu adalah satu nasib baik. Tetapi nasib baik tidak semesti berlaku di semua tempat. Perak tidak berkuasa untuk memansuhkan ISA dengan kuasa yang ada padanya, tetapi ia tidak mahu Kamunting terus menyakitkan mata kerajaan negeri.

Karpal yang prihatin


Saya ingin ucapkan TAHNIAH dab SYABAS kepada YB Karpal Singh kerana cukup prihatin dengan setiap perkembangan website dan blog berkaitan PAS, sehingga 'shout-box' yang biasanya menjadi mainan remaja pun jadi perhatian.


Semua anak muda sedar shout-box biasanya menjadi medium melepaskan emosi dan jarang sangat anak-anak muda sendiri ambil perhatian. Biasanya shout-box menjadi tempat bertekak atau saling mengutuk. Tak pernah pulak dengar 'shout-box' jadi isu sebelum ini.


Hanya selepas KARPAL SINGH MEMBUAT LAPORAN POLIS baru saya sedar bahawa peguam yang hebat ini juga sensetif dengan shout-box. Tapi malangnya lebih banyak thread-thread forum dalam website kelolaan umno-bn tak pernah DAP ambil peduli. HANYA yang berkaitan PAS sahaja yang diberi perhatian.


KALAU Karpal anggap ini caranya untuk 'menasihati' PAS, maka saya kenalLAH saya kini akan Karpal Singh. Nampaknya KARPAL lebih bersikap lembut dengan umno-bn dan Polis berbanding PAS, rakan dalam Pakatan Rakyat.


MUNGKIN dari awal Karpal Singh TIDAK setuju dengan Pakatan Rakyat..tapi kalau tak setuju pun janganlah tunjuk lagak tak tentu pasal.


SAYA anggap ini hanyalah sikap dan cara terpencil pemimpin DAP dalam bersahabat. Mungkin beginilah adat dan caranya Karpal Singh berkawan. Baru saya tahu cara peguam menegur 'parti sahabat' adalah dengan menggunakan laporan polis.


SAYA JUGA berharap semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat ambil maklum akan perkara ini. JIKA ada sebarang teguran dan nasihat sesama Pakatan Rakyat, sila buat LAPORAN POLIS. BIAR Polis ada alasan untuk selongkar dan porak perandakan 'parti sahabat' kita.
dari media umno-bn
Ugut bunuh Karpal: Pelajar kolej serah diri
JOHOR BAHRU 28 April - Seorang pelajar kolej yang menghantar komen di sebuah laman web dengan menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh 'halal' dibunuh, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini.
Remaja berusia 19 tahun dari Kluang itu yang ditemani ayahnya serta ahli-ahli Pas Johor tiba di IPD tersebut pada pukul 1 petang ini dan polis telah mengambil keterangan daripadanya untuk membantu siasatan.Sementara itu, Timbalan DAP Johor, Norman Fernandez berkata, pelajar tersebut juga telah menemui beliau pada pukul 4 petang ini untuk menyerahkan surat permohonan maaf sepanjang satu muka surat kepada Karpal.
''Pelajar itu, ayahnya dan beberapa wakil daripada Pas negeri telah menyerahkan surat permohonan maaf dan menyesali perbuatan dan masalah yang ditimbulkan olehnya. ''Dia juga berjanji untuk tidak menghantar mesej sedemikian rupa ke sebarang peti mesej (e-mel) dalamannya,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pelajar itu juga merayu agar Karpal menarik balik laporan polis yang telah dibuat. Menurut Fernandez, beliau akan menyampaikan surat itu kepada Karpal esok dan terpulang kepada Pengerusi DAP itu untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Amer Awal ketika dihubungi berkata, polis sedang menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Menurutnya, beberapa individu akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, komen bertarikh 24 April pada laman web Pas Johor Bahru yang dihantar oleh pengirim yang menggelar dirinya 'Alif' itu mendakwa Karpal telah menghina Islam dan oleh itu, darahnya halal dibunuh. Sehubungan itu, Karpal membuat laporan polis berkenaan perkara itu di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Friday, April 25, 2008

Buat Pakatan Rakyat

Kepada sesiapa sahaja, tolong sampaikan pesan berikut kepada Karpal Singh,
atau tolong postkan ke blog beliau.
Saya cuba login blog beliau, tapi agak sukar.


Komen saya :

Salam Sejahtera Tuan.
Saya ucapkan tahniah atas kemenangan tuan dan pakatan rakyat dalam PRU12 baru-baru ini.

Diharapkan tuan dan rakan-rakan dapat memberi khidmat baik, demi kebaikan dan kebajikan seluruh rakyat.Saya juga berharap tuan dan rakan-rakan dapat fokus kepada kerja kebajikan dan keadilan kepada rakyat.

Tuan dan rakan-rakan tidak sepatutnya menimbulkan apa-apa isu dan dasar yang berbeza kerana saya dan rakan-rakan yang mengundi tuan dan rakan-rakan tuan adalah untuk menjaga kebajikan dan keadilan kami semua.

Saya dan rakan-rakan tidak mengundi tuan dan rakan-rakan tuan untuk saling berdebat tentang isu perkauman, agama dan adat resam budaya masing-masing.
Cukuplah tuan dan rakan-rakan tuan bekerja keras, siang dan malam untuk menjaga hal ehwal kebajikan kami, dan jika ada perbalahan atau pertembungan pendapat, lakukanlah secara bijak dan perbincangan sesama tuan.

Selepas puas berbincang atau berdebat, keluarkan sahaja hasilnya kepada rakyat. Bukan secara terus-menerus bermain dengan media masa. Situasi hari ini cukup meresahkan bila tuan dan rakan-rakan lebih banyak bercakap dari bekerja.

Sebagai pengundi tuan dan rakan-rakan tuan, sekali lagi saya minta, KURANGKAN BERCAKAP, BANYAKKAN BEKERJA ..

boleh reply ke blog saya : roslisalem.blogspot.com atau emel roslisalem@gmail.com

Wednesday, April 16, 2008

Umno harus sedar majoriti Melayu teras kekuatan Anwar Ibrahim

Mohd Rashidi Hassan Wed Apr 16, 08 4:46:52 pm MYT

Peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus Menteri Kewangan pada 2 September 1998 dan disusuli pemecatan sebagai Timbalan Presiden Umno pada 3 September, melakar sejarah baru dalam politik Malaysia. Anwar bukan sahaja dipecat, malah dihadapkan dengan dakwaan 10 pertuduhan yang membabitkan penderhakaan terhadap negara, rasuah dan salah laku seks yang menyebabkan beliau terpaksa meringkuk enam tahun dalam penjara.

Tindakan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad itu, mendorong penyatuan gabungan semua parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Nasional yang baru ditubuhkan, DAP dan PRM.

Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor merupakan pemimpin pembangkang yang pertama tampil ke hadapan mengkritik Dr Mahathir di atas kezalimannya menganiaya Anwar.
Diikuti dengan Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali, turut menziarahi Anwar di rumahnya bagi menyatakan sokongan pembangkang terhadap Anwar.

Gabungan erat empat parti pembangkang ketika itu, membentuk sebuah gagasan politik yang dinamakan Barisan Alternatif dengan mengemukakan manifestonya bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Adil' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Bermula era reformasi
Sebelum daripada penggabungan pembangkang, era reformasi bermula sebaik pemecatan Anwar. Rakyat di seluruh negara bangkit menentang kezaliman Dr Mahathir terhadap orang yang dilatih selama 16 tahun untuk menjadi pengganti beliau. Masjid Negara menjadi lokasi pertama perhimpunan 100 ribu umat, menyaksikan kebanjiran penyokong keadilan memenuhi setiap pelusuk kota dari Masjid Negara hingga ke Dataran Merdeka.

Pada malam itu juga kediaman Anwar di Bukit Damansara diserbu anggota UTK yang lengkap dengan senjata automatik, menangkap dan mengheret Anwar ke Bukit Aman. Serentak dengan itu berpuluh-puluh pengikut Anwar ditahan di bawah ISA. Tindakan keras pihak berkuasa itu, tidak menghalang laungan reformasi untuk terus bergema, demonstrasi berterusan setiap minggu di Jalan Tunku Abdul Rahman. Laungan reformasi terus bergema di penghujung tahun 1998, walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim sedang terbelengu di sebalik pasung jeriji besi di Penjara Sungai Buloh.

Pasca PRU 1999 dan 2004
Keputusan PRU 1999 membuktikan majoriti orang-orang Melayu menolak Barisan Nasional. Sehingga ada statistik kajian melaporkan suatu ketika, 7 daripada 10 orang Melayu menyokong Anwar.

Secara puratanya, rekod PRU 1999 membuktikan 60 peratus Melayu menyokong Anwar dan gabungan pembangkang, manakala hanya 40 peratus Melayu kekal menyokong BN.
Walaupun wujud gabungan padu Barisan Alternatif, yang wujud di dalamnya keanggotaan dari kaum Cina, India dan lain-lain, namun ketika itu tidak ramai daripada kaum bukan Melayu yang menyokong Anwar.

Hanya ada segelintir pimpinan utama PRM dan Keadilan ketika itu yang 'all-out' membela nasib Anwar sehingga terpaksa meringkuk dalam lokap polis, dipukul dan ditendang sehingga mengalami kecederaan. Hakikat yang ditunjukkan pada PRU 1999, peristiwa lebam mata Anwar dipukul Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak menyelami lubuk hati kaum bukan Melayu.

Keadaan ini kekal sehingga PRU tahun 2004. Pindaan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang begitu 'bias' (berpihak) kepada BN pada tahun 2002 menjadikan kawasan-kawasan Parlimen dan Dun dirobek-robek dan dicampur adukkan dengan lokaliti pengundi bukan Melayu.

Ketika itu Umno/BN mengetahui bahawa Melayu tidak boleh diharapkan untuk menyokong mereka. Maka kaum bukan Melayu dipergunakan untuk terus menyokong BN. Fakta PRU 2004 menunjukkan majoriti Melayu masih menolak Umno/BN dan menyokong PAS serta KeADILan dan lain-lain pembangkang. Ketika itu DAP tidak bersama dalam Barisan Alternatif.

Sehingga Pilihan Raya Kecil Dun Ijok pada April 2007, kaum bukan Melayu masih belum menunjukkan sokongan padu kepada pembangkang sehingga menyebabkan Tan Sri Khalid Ibrahim tewas dengan K Parthiban. 'Swing vote' atau tsunami pada PRU 2008 dari kalangan kaum bukan Melayu, sememangnya di luar jangkaan pemimpin Pakatan Rakyat, juga di luar jangkaan BN.

Melayu teras kekuatan Anwar
Semua peristiwa ini membuktikan hakikat bahawa, teras kekuatan sokongan Melayu yang majoriti beragama Islam ialah kepada Anwar dan pembangkang, terutamanya PAS.
Fakta yang harus diingat ialah, sejak kerjasama erat yang dihulurkan Almarhum Ustaz Fadzil, orang-orang PAS yang majoritinya Melayu memberikan kerjasama dan dokongan erat kepada pembangkang, khususnya Anwar dan KeADILan.

PAS mempunyai sejuta ahli dan hampir dua juta pengundi setia sejak beberapa kali PRU. Kekuatannya meluas di seluruh negara. PAS kawasan dan cawangan berada di mana-mana.
Sehingga banyak kali PRU, calon-calon pembangkang (yang bukan PAS), boleh bergantung sepenuhnya dengan jentera pilihan raya PAS kerana orang-orang PAS komited dalam soal kerja dan tugas menentang BN.

Komitmen ahli dan penyokong PAS dalam menjayakan gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat begitu besar dan ianya terus terbukti dalam PRU ke-12 8 Mac lepas. Justeru tuduhan bahawa Anwar akan mengetepikan Melayu, Melayu diambang perpecahan, masa depan Melayu terjejas dengan Pakatan Rakyat sememangnya tidak betul sama sekali.

Fakta yang harus difahami ialah sejak tahun 1999 sehingga 2008, kekuatan Umno/BN hanya didokong oleh minoriti Melayu, sekitar 40 peratus dan ditambah dengan sokongan majoriti bukan Melayu. Masalah yang berlaku hari ini ialah sokongan minoriti Melayu dalam Umno, terhadap Umno semakin berpecah. Jika Umno berpecah, Melayu dalam Umno bergaduh, kuasa politik Melayu terhakis, bukan salah Anwar, bukan salah PAS, ianya adalah kesalahan pemimpin-pemimpin Umno!

Hakikatnya, teras kekuatan Anwar adalah dengan dokongan majoriti Melayu daripada PAS, tanpa dokongan PAS belum tentu Anwar akan terus berada dalam kedudukan sekarang. Oleh sebab itu, dakwaan bahawa, jika Anwar berkuasa menjadi Perdana Menteri, kuasa Melayu akan terhakis adalah propaganda jahat Umno/BN semata-mata.

Majoriti Melayu yang berada dalam PAS, juga dalam KeADILan adalah pendokong sebenar kekuatan Anwar Ibrahim. Maka, jika kuasa berpindah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat, orang-orang Melayu tetap terjamin haknya dari sudut politik, pendidikan, ekonomi dan sosial, malah mungkin lebih baik lagi!

cerita Perak

Perak tarik pelaburan hampir RM16 bilion: Nizar


Oleh Utusan
Rabu, 16 April 2008


IPOH: Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri percaya dapat menarik pelaburan berjumlah hampir RM16 bilion apabila pelabur asing yakin dengan kestabilan politik di negeri ini.Katanya, pelabur asing juga didapati tidak menghadapi masalah untuk melabur di negeri ini selepas pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini.

''Selepas dua minggu dilantik sebagai Menteri Besar, saya telah menerima kunjungan pelabur dari Asia Barat, Amerika Syarikat dan Eropah yang berminat untuk melabur di sini.
''Kita juga menerima lawatan rombongan 20 ahli perdagangan antarabangsa iaitu dari Eropah, Jerman, Perancis dan beberapa negara lain yang berminat untuk melabur di negeri ini,'' katanya.

muafakatlah

Maufakat demi kelangsungan bangsa


Oleh Utusan
Rabu, 16 April 2008


IDEA mengadakan permuafakatan antara UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rak- yat (PKR) pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi ia tidak begitu menarik perhatian ketiga-tiga parti itu untuk menggerakkannya secara serius supaya menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 bulan lepas, idea tersebut diperkatakan kembali apabila beberapa isu melibatkan agama Islam, raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dicabar secara terang-terangan.
Selain itu, kemenangan ramai calon bukan Melayu daripada parti pembangkang juga wajar direnungi oleh parti- parti yang mewakili orang Melayu seperti Pas dan UMNO - jangan sampai penguasaan mereka ini meruntuhkan kuasa politik Melayu.
Ini didorong oleh kebimbangan mengenai kepentingan orang Melayu di negeri-negeri yang didominasi oleh bukan Melayu seperti di Pulau Pinang berikutan langkah kerajaan pembangkang di situ untuk menghapuskan DEB yang akan menghakis hak mereka.
Timbul persoalan, apa akan jadi dengan kuasa politik Melayu apabila sudah ada pihak yang berani mencabar hak mereka yang sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan?
Justeru, sudah sampai masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu duduk dan membincangkan hak serta hala tuju orang Melayu supaya ia dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya.
Tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu yang berbeza fahaman politik me- ngetepikan ideologi dan kepentingan masing-masing serta bersama-sama memperjuangkan hak ketuanan Melayu yang kini dilihat semakin rapuh.
Persoalannya, apakah ia boleh dilakukan dan apakah ketiga-tiga parti yang berbeza fahaman politik sanggup untuk mengetepikan kepentingan masing-masing demi mempertahankan hak orang Melayu?
Bagi pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman, permuafakatan seumpama itu boleh diwujudkan jika semua pihak bersedia melupakan soal kepentingan parti, diri sendiri dan sanggup bertolak ansur.
''Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutama selepas pilihan raya umum lalu, pembangkang memenangi banyak kerusi dan kini menguasai lima negeri.
''Permuafakatan boleh wujud jika semua pihak boleh sepakat dan bersetuju bahawa tidak ada pihak yang mendominasi pihak satu lagi,'' katanya.
Itulah yang seharusnya dipersetujui oleh pemimpin Melayu. Permuafakatan harus disegerakan dan dilakukan secara ikhlas bukan bersyarat. Ia mestilah kekal dan bukan bersifat sementara, demi kepentingan orang Melayu.
Jangan sampai permuafakatan itu kemudiannya berlangsung sekerat jalan apabila ada pemimpin yang mula memperkatakan soal jawatan dan mahukan kuasa dan selain mahu menegakkan agenda parti masing-masing.
Orang Melayu tidak lagi boleh menutup mata dan menganggap seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Pemimpin-pemimpin Melayu mesti bersatu dan menjadi satu kumpulan pendesak yang kuat demi memastikan hak serta kepentingan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara.
Saranan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria baru- baru ini supaya permuafakatan itu diwujudkan agar isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan ternyata telah mencetuskan usaha positif ke arah menyatukan orang Melayu.
Reaksi positif daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memungkinkan muafakat yang dicadangkan itu menjadi kenyataan.
Salahuddin mengakui Pas pada dasarnya bersetuju dengan permuafakatan itu merupakan petanda positif ke arah merealisasikan usaha permuafakatan itu.
Begitu juga dengan Azmin yang mengakui pemuafakatan membawa maksud yang baik tetapi perlu berlandaskan prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain supaya tidak wujud ju- rang antara Melayu dan bukan Melayu.
Permuafakatan yang dimaksudkan itu bukan bertujuan untuk menidakkan hak bukan Melayu apatah lagi bermusuhan dengan mereka. Sebaliknya ia lebih kepada usaha untuk menjadi satu pakatan yang kuat supaya jika ada pihak yang mempertikaikan hak orang Melayu, pemimpin Melayu boleh bangkit dan bersatu mempertahankannya.
Bagaimanapun adalah penting untuk pemimpin ketiga-tiga parti politik itu terlebih dahulu mendapatkan konsensus dan persefahaman sesama mereka mengenai usaha yang perlu dilaksanakan dalam menegakkan kepentingan Melayu agar ia tidak mudah diganggu oleh orang lain.
Dan jika ada yang cuba mempertikaikan mahupun memperlekehkan isu-isu tersebut, pemimpin daripada ketiga-tiga parti itu perlulah senada mempertahankan apa yang sememangnya menjadi hak orang Melayu.
Pemimpin-pemimpin Melayu perlu ada cara mereka sendiri dalam mempertahankan hak orang Melayu. Usaha itulah yang harus digerakkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR sekarang demi survival orang Melayu.

lagi hal kerajaan negeri Selangor

"Ladang babi tidak guna wang kerajaan" Yaakob Sapari


Oleh Agendaselangor.com
Rabu, 16 April 2008


SHAH ALAM: Selangor tidak berganjak dengan keputusan meneruskan projek penternakan babi secara moden di Ladang Tumbuk, Mukim Batu dekat Sepang kerana beberapa faktor termasuk tidak menggunakan wang kerajaan negeri.
Projek itu juga bagi mengelak pencemaran alam sekitar dan wabak penyakit, hanya untuk bekalan tempatan serta bertujuan mengurangkan jumlah ternakan haiwan tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.
Menurutnya, projek itu dijangka menjana pelaburan kira-kira RM485 juta dengan syarikat utama yang menyediakan ladang itu akan membelanjakan RM360 juta dan penternak pula melabur RM125 juta membabitkan nilai haiwan tersebut.
“Projek ini tidak menggunakan wang kerajaan negeri. Pengambilan tanah juga dibayar oleh syarikat tersebut. Kos loji biogas, kadang tertutup dan pemindahan teknologi semuanya ditanggung syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan majlis penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor berhubung projek yang kini menjadi isu berikutan bantahan penduduk setempat.
Yaakob berkata, keluasan keseluruhan tapak projek itu hanya 337 ekar berbanding kawasan ternakan sekarang seluas 475 ekar.
“Jumlah semasa ternakan babi ketika ini adalah 257,521 ekor dan jumlah ini akan dikurangkan kepada 250,000 ekor sahaja di ladang ternakan moden yang dirancang ini,” katanya.
Katanya, keperluan daging bagi untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah kira-kira 3,000 ekor sehari atau 300 tan manakala bilangan penduduk Cina di Selangor seramai lebih 1.3 juta orang.
Melalui ladang moden ini katanya, air kumbahan najis babi dan bahan-bahan buangan hanya akan dikitar semula di dalam kawasan premis ternakan dan tiada yang terlepas ke dalam system sungai atau resapan bawah tanah.
“Ini mengurangkan ke tahan minimum pencemaran bau. Kandag pula dilengkapkan dengan system penyejuk hawa sepenuhnya bagi mengelak tumbesaran, penyakit dan serangga,” katanya.
Menurut Yaakob, kerajaan negeri mengekalkan lokasi Ladang Tumbuk kerana tempat sedia ada paling teruk tercemar, tanah milik pengusaha sendiri, kawasan ternakan babi terbesar di Selangor serta kawasan hiliran dan menempatkan ramai penduduk Cina.

Masa untuk bekerja

Kerajaan Pakatan Rakyat akan laksanakan janji mengikut bidang kuasa - Mahfuz
Basiron Abdul Wahab Wed Apr 16, 08 1:39:30 pm MYT

JERANTUT 16 April (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata, Kerajaan Pakatan rakyat tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melaksanakan janji yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya Ke arah Negara Berkebajikan mengikut kemampuan dan kuasa kerajaan negeri.
Mahfuz berkata, apa-apa janji yang terkadung didalam manifesto pilihan raya lalu akan dilaksanakan seperti 'rebet' cukai tanah di Kedah, bekalan air percuma di Selangor dan sebagainya.
Perkara itu, jelasnya boleh dilaksanakan tetapi menurunkan harga petrol dan barangan keperluan tidak dapat dilakukan kerana bidang kuasa berkaitan perkara itu berada di tangan kerajaan Persekutuan.
Menjawab pertanyaan mengenai pendidikan percuma, beliau menjelaskan, isu berkenaan juga tidak dapat dilaksanakan kerana ia bukan berada di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, bagaimanapun sebagai Ahli Parlimen beliau dan rakan-rakan ahli parlimen Pakatan Rakyat akan mendesak kerajaan Persekutuan memansuhkan hutang pinjaman Tabung Pendidikan Negara (PTPN) itu.
Mahfuz turut ditanya mengenai usaha membebaskan pemimpin Hindraf yang di tahan dibawah ISA serta Cuti Taipusam di Kedah.
Katanya usaha membebaskan semua tahanan ISA tetap menjadi agenda Pakatan Rakyat bukan setakat membebaskan lima pemimpin Hindraf tetapi semua tahanan ISA lainnya serta Akta itu dimansuhkan terus.
"Sebagai bekas tahanan ISA, saya merasai bagaimana penderitaan ditahan tanpa sebarang tuduhan, justeru kita bukan berjuang setakat membebaskan semua tahanan bahkan menghapuskan terus Akta ISA itu," katanya.
Menurut Mahfuz isu cuti umum Taipusam, beliau difahamkan perkara itu telah dibangkitkan oleh kaum India kepada kerajaan Kedah.
Mahfuz berada di Pahang kerana merasmikan penubuhan Kelab Penyokong PAS (India). Pada majlis itu Mahfuz menerima 150 borang menyertai kelab penyokong PAS (India) dari pengerusi penaja Balasubramaniam Nachiappan 50.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin PAS negeri, kawasan dan cawangan. - mns

Monday, April 14, 2008

kuasa rakyat

suasana di stadium Ipoh (MB Koridor Pakatan Rakyat)
dan suasana di kelab selangor (Freedom 14- DSAI)


Wednesday, April 9, 2008

kena lagi

juga dari malaysiakini.com


Husam: Gred petrol hanya 'menipu'
Fathi Aris Omar & Beh Lih Yi Apr 9, 08 1:57pm

Memperkenalkan gred baru minyak - dengan alasan mengurangkan subsidi untuk golongan kaya - hanya satu bentuk "penipuan", kata naib presiden PAS Datuk Husam Musa. "Pada pendapat saya, ia suatu bentuk 'penipuan', ia bukan menurunkan harga minyak secara yang sebenar, ia hanya menurunkan mutu minyak dan dengan itu mengurangkan kos petroleum tersebut," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini kelmarin.

Menurutnya, hanya kenderaan tertentu boleh menggunakan petrol yang bermutu rendah tetapi kebanyakan kenderaan, khususnya model terbaru, menggunakan gred tinggi. Sedangkan, katanya lagi, cadangan ini bermakna minyak bergred tinggi akan menjadi lebih mahal akibat kurangnya subsidi.

"Kita lihat kenderaan diesel - banyak digunakan oleh kenderaan pengangkutan - yang dikeluarkan di Eropah kini tidak lagi menggunakan diesel bermutu rendah ... "Thailand telah menggunakan diesel bermutu tinggi, Malaysia masih mengguna diesel mutu rendah, jadi kenderaan yang menggunakan diesel bermutu tinggi tidak boleh lagi dibawa masuk ke Malaysia kerana enjinnya akan rosak jika guna diesel di negara ini.

"Jadi, (kerajaan) kita sekarang sedang mengelabui mata rakyat tentang kedudukan ini. "Ia sebenar-sebenarnya tidak menolong rakyat Malaysia umumnya, bukan sahaja (tidak menolong) golongan miskin," kata Husam lagi, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan.

Beliau diminta mengulas cadangan menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna Datuk Shahrir Samad untuk memperkenalkan dua gred petrol, RON 95 dan RON 99, bagi manfaat rakyat berpendapatan rendah. Shahrir berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menimbang cadangan memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97.

Ketika ini, petrol jenis RON 92 kebanyakannya digunakan oleh motosikal, manakala kenderaan lain menggunakan RON 97. Mengikut sistem baru yang dalam kajian, lebih subsidi akan diberi kepada petrol RON 95 yang digunakan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal sesuai untuk kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.

komen: Rakyat Malaysia perlu membuat pilihan, guna motosikal sahaja atau beli kereta jenis lama yang boleh guna minyak harga murah. Rasanya Proton Iswara boleh kot guna Petrol Ron95 sebab enjin dia dari model tahun 80-an ..

apa lagi ni

terkini dari malaysiakini.com

DAP: Apa lagi selain negara Islam?
Apr 9, 08 4:43pm

Apa lagi isu yang lebih besar daripada hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia? - pengerusi DAP Karpal Singh menjawab gesaan agar beliau "menutup mulut" daripada mengulas isu tersebut.

Menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak, hari ini dilaporkan berkata "saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud."Menjawab tempelakan itu, Karpal berkata negara Islam menjadi isu awam yang paling penting kerana Malaysia kini sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan jaminan perlembagaan semua agama boleh diamalkan secara aman dan harmoni."

Isu ini tidak boleh, dan tidak wajar, disapu bawah permaidani," katanya, dalam satu kenyataan hari ini."Jika usaha PAS menukar Malaysia menjadi negara Islam menjadi kenyataan, ia bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam."Kenyataan Karpal ini, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, siri terbaru dalam perang mulut antara DAP dengan PAS susulan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April.

Azizan menggesanya tidak meneruskan isu itu selepas Karpal menjawab kenyataan menteri besar Kelantan, yang juga mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz pada Ahad. Berikut rentetan 'perang mulut' dua parti pembangkang itu:

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."

3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad. Karpal dilaporkan berkata: "Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR."

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu. Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam. "Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."

Ahmad - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat. 8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.


komen : apa lagi yang kecoh ni..sekarang adalah masa untuk semua pihak menjalankan kerja masing-masing. Kerajaan pusat dan negeri semua dah tubuhkan kerajaan. Buatlah kerja. Janganlah dok ungkit isu sama berulang-ulang .

salam

salam buat semua ..

moga kalian sentiasa dalam
lindungan rahmat dan berkat Ilahi..

amiin.